Pembinaan jiwa dan aqal adalah lebih sukar dari pembinaan bilangan dan barisan. Secebis kata Syed Qutb yang dipetik dari muqadimah ringkas surah Al-Qalam. Seolah masuk ke dalam terowong masa merentas zaman, kembali ke era Mekah yang gemerlap dengan warna dan sirna nubuwah untuk diteladani. Kisah hidup manusia-manusia berjiwa rabbani. Kisah tadhiyah yang penuh warna warni.
13 tahun pertama ditumpukan untuk membersih dan menggilap jiwa-jiwa kering yang tunduk menghamba diri kepada yang dinamakan Latta dan Uzza selaras dengan penurunan wahyu ilahi yang mengisi kebutuhan jiwa manusiawi ketika itu. Supaya bersih dari segala tabiat kuno nenek moyang yang jahil. Berkonsepkan tauhid, satu cara hidup yang bukan baru, juga telah digunapakai oleh manusia pertama Adam a.s, diperkenalkan ke seantero Mekah. Hasilnya lebih kurang 300 orang sahaja yang menerima dan menyahut seruan. Ini bukan kegagalan, ini penapisan. Pemilihan sulbah-sulbah yang sanggup ke hadapan tika Islam jadi taruhan.
Gerabak dipacu ke Madinah. Perlembagaan digubal, daulah terbina rentetan kesatuan dan kesepaduan jiwa-jiwa mukmin meneladani tanzim sosok terpuji, Rasulullah saw. Ummah makin meriah dengan gerombolan manusia-manusia seluruh pelosok menyahut seruan ilahi yang didatangkan bersama seorang manusia nubuwah. Ini kisah insan mulia, Muhammad saw berserta generasi ulung Al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin dan umat terdahulu baik terkemudian.
Lewat beberapa hari ini, aku duduk mengakui pembinaan jiwa dan aqal itu lebih sukar dari pembinaan bilangan dan barisan. Hendak melentur jiwa sendiri lagikan susah, inikan pula hendak menyantuni jiwa-jiwa lain. Juga semakin memahami bahawa pembinaan bilangan dan barisan itu bermula dari hati dan jiwa yang dibina dan dididik dengan sebaik-baik adunan dan ramuan seperti graduan-graduan yang dihasilkan oleh kuliah tarbiyah Rasulullah saw. Mereka seperti logam.
“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham [faquhu]” –Sahih Bukhari-
Dan aku.
Ingin jadi kuat dan kuat.
Supaya boleh memberi manfaat.
p/s.. sedang melalui tenggang terbaik fasa pembentukan diri. Maka hulurkan tangan, mari bergandingan.
[makin kagum dengan ketahanan dan kegigihan osmates dentist menjalani malam-malam exam dengan tidak berperasaan, didoakan urusan korang dipermudahkan..hemoih..]
pusat pemulihan akhlak..
irbid the hashemite kingdom, 1050pm..