nostalgia dan doa

Wednesday, December 30, 2009 Posted by ayyash 11 comments
Assalamualaikum wbt..

Kata Yusuf Al-Qardhawi,

Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah
Anda hidup untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk aqidah yang terbesar
yang menyelesaikan
Urusan alam yang lampau

Jawablah soalan yang disoal oleh orang-orang yang tertanya-tanya
Semasa mereka menghayati petunjuk
Dari manakah aku datang?
Kemanakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan?
Adakah aku hidup kembali?

Lalu bersinarlah keyakinan didalam jiwa
Terusir segala keraguan yang nakal dan derhaka
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
Kepada jalan yang benar dan lurus

Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang disegala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi dan mulia
Lalu hiduplah kamu didunia untuk akhirat
Disanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’

Kau tudung bumimu dengan langit
Dan para malaikat menjadi saksi
Itulah aqidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
Dengan namanya, dialah orang yang berbahagia!

-diambil dari Al-Muntalaq, buah fikiran Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rashid, saya dedikasikan kata-kata ini khas untuk difikirkan dan dihayati oleh insan dibawah-

Sekitar tahun 1999

“ Azam tak pegi mengaji malam ni. Kim salam je kat makcik Nur, kata kat dia Azam dah genius”, katanya kepada saya.

“Mengaji gagap-gagap, dah genius konon”, saya pasti ini jawapan saya kepada dia.

Nostalgia. Dialog 10 tahun lepas. Dialog antara 2 orang budak hingusan yang hanya kenal gembira dan seronok sahaja, kadang-kala menangis kesakitan dirotan ayah, kadang-kala menarik muka masam apabila didenda tidur diluar rumah akibat kenakalan dan kedegilan diri sendiri, acapkali membantah kata-kata umi lantaran sikap lembutnya melayan kerenah kami, duduk diam-diam didalam bilik pabila tahu ada kesalahan dibuat, dan seribu satu macam kerenah lagi.

Hari ini, penghujung 2009

Tadi saya baru sahaja menelefon sahabat baik saya sedari kecil, kawan basikal, kawan mandi sungai, kawan main hujan, kawan kene rotan, pendek kata, kawan segala-galanya . Bersembang-sembang perihal dirinya dan saya lebih kurang 15 minit. Antara orang yang paling rapat dengan saya, sedari tadika sampailah dia tingkatan 2, saya tingkatan 3 di SMKA, masih lagi bersama-sama. Bezanya saya meneruskan pengajian menengah atas disalah sebuah SBP di Perak, dia terpilih meneruskan pengajiannya ke SBP diluar Perak setahun kemudian lantaran usianya yang lebih muda setahun dari saya.

4 Januari ini, adik saya ini akan melanjutkan pengajiannya di Malaysian Institute of Aviation Technology, MIAT apabila dia memilih untuk berhenti dari pengajian semasanya di Universiti Malaysia Pahang. Saya mendoakan keputusan yang dibuatnya adalah keputusan yang terbaik untuk dirinya, semoga Allah mencorakkan taqdir dan perancangan paling cantik dan hebat untuknya.

“Bape taon eh degree ni?”, tanya saya.

“4 taon”, jawabnya pendek.

“Oo, klu camtu, InsyaAllah K.Ai grad dulu la ni..haha, tu la, dulu berlagak lagi grad dulu”..

“Eleh, yeke? Ntah-ntah Azam grad dulu, tengok la nanti. Azam pakai kete dulu, nanti Azam amek kamu..haha”..

Saat ini

Moga Allah memudahkan segala-gala untuknya lebih lagi dari Allah memudahkan urusan saya.

Moga Allah menjaga dan mengawasinya dengan pakaian iman dan Islam yang ada padanya.

Moga dia lebih faham dan beramal dengan syahadah dan syariatNya.

Dalam doa, saya rindukannya.


Ardh Ar-Ribath, the Hashemite kingdom, 6.00pm
Labels:

seruan kesatuan

Sunday, December 27, 2009 Posted by ayyash 8 comments
Assalamualaikum wbt..

10 Muharram 1431H

"Kawan Cina saya penah cakap, kalau orang Cina berjaya menguasai Malaysia, dorang akan halau sume orang Melayu kuar dari Malaysia ni", kata seorang kawan.

Saya menginterpretasi kata-kata ini keluar dari mulut seorang budak sekolah menengah, yang masih belum memahami sepenuhnya sentimen-sentimen perkauman didalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Kenapa kita nak cakap pasal kepentingan bangsa, kenapa tak bercakap soal kepentingan agama, itukan lebih penting”, luah seorang kawan rentetan lahirnya kerisauan terhadap status bumiputra yang makin terhakis dari masa ke masa, ketika sesi LDK baru-baru ini.

Saya berminat untuk berbicara soal hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputra walaupun saya bukanlah orang yang mahir didalam perbahasan mengenainya, kerana saya punya pendapat saya sendiri. Saya merasakan adalah perlu untuk bangsa Melayu diberi hak-hak istimewa melihatkan kepada survival bangsa Melayu yang masih belum boleh dikira independent dari sudut kesinambungan dan kekuatan bangsa. Masih beratapkan langit dan berlantaikan bumi, kita melihat penguasaan ekonomi oleh kaum Cina di Malaysia, rasionalnya sudah cukup untuk membuktikan bangsa Melayu masih belum mampu untuk bersaing secara total. Saya tak menafikan kewujudan golongan perintis ekonomi Melayu seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary. Tetapi peratusan Melayu miskin tegar lebih tinggi sehinggakan cukup untuk menenggelamkan nama hebat seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Saya dibesarkan di kawasan luar bandar, melihat kakak sulung saya, antara pelajar luar bandar yang bertuah ketika itu, mendapat buku-buku rujukan dibawah yayasan pendidikan Al-Bukhary turut mencerminkan soal kelangsungan pendidikan anak melayu tika itu, yang kini, generasi itu merupakan penghuni-penghuni fakulti di IPT. Saya melihat masih terdapat keperluan untuk mengekalkan hak istimewa bumiputra didalam permohonan ke institusi pengajian tinggi juga tajaan pelajaran seperti biasiswa mahupun pinjaman kewangan, melihatkan kepada tangga pencapaian pendidikan anak Melayu yang masih kurang memberansangkan.

Saya bukanlah seorang racist, anti kepada golongan bermata sepet juga berkulit gelap manis, tetapi saya merasakan survival orang Melayu masih tidak dapat lari lagi daripada hak-hak istimewa tersebut, atau dalam erti kata lain, masih tidak mampu untuk berdiri dengan kaki sendiri rentetan kesan kolonialisasi yang menetapkan bangsa Melayu hanya sekadar bermukim dan bekerja di kawasan kampung sahaja. Apa yang saya lihat, hak-hak istimewa ini masih tidak menafikan peluang dan penglibatan kaum-kaum lain dalam segala bidang, juga tidak menunjukkan penguasaan total bangsa Melayu ke atas sesuatu lapangan.

Anak-anak Melayu!

Pemegang-pemegang tajaan pendidikan!

Penghuni-penghuni IPT!

Tempa kecemerlangan hari ini supaya hak-hak istimewa yang diberi berjaya menghasilkan golongan-golongan pembangkit ummah, pewaris siasah juga penggerak qiadah Islam, lalu melebarkan sayapnya melangkaui batasan darah keturunan dan ke'bangsa'an.

Anak-anak Islam!

Dengan lafaz Allahuakbar, Allah Maha Besar!

Seruan kesatuan aqidah bergema.

Menghapus ketuanan bangsa.


Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 5.41pm
Labels:

keindahan yang plastik

Wednesday, December 23, 2009 Posted by ayyash 16 comments
Assalamualaikum wbt..

Jumaat 18 Disember

Kelas Multaqa Ilmi Aqidah baru-baru ini, ustaz membincangkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap adanya Tuhan yang mencipta semesta ini. Boleh juga dibaratkan seperti malignant tumor stage 3, semakin merosakkan dan menghancurluluhkan lautan cells akibat daripada process necrosis dan apoptosisnya. Semakin manusia diuji dengan ketidakmampuan atau kemiskinan untuk meneruskan survival hidup, semakin manusia ingkar akan sifat Allah Yang Maha Memberi Rezeki, apakan lagi kewujudan Tuhan itu sendiri. Semakin manusia diuji dengan kebijaksanaan dan ilmu yang ada, semakin ia meragui akan adanya Allah Yang Maha Bijaksana, yang mengatur segala makhluk atas muka bumi ini.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku menang merempit malam Jumaat”, kata mat rempit.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku sangat miskin, nak hidup pun susah”, kata si miskin.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku kene rogol dengan abang aku sendiri”, kata perempuan lemah.

Kenapa ya? Teruskan berfikir!

Selasa 22 Disember

Semalam Hari Malaysia anjuran Kedutaan Malaysia-Jordan, diadakan buat pertama kalinya bagi memperkenalkan Malaysia dimata dunia, atau pengkhususan skopnya dimata masyarakat tempatan Jordan. Melihat kepada pengenalan Malaysia daripada pelbagai aspek, pemakanan, adat budaya, pendidikan, sampailah kepada pembangunan, menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat ideal untuk didiami oleh seantero masyarakat dunia. Cantik. Indah. Maju dan moden juga didiami oleh masyarakat yang berakhlak mulia. Segala-galanya kelihatan harmoni.

Namun, disebalik segala keindahan plastic yang ditunjukkan semalam, ada seribu satu, mungkin lebih cacat merba, onak liku, serta hanyir kehidupan masyarakat yang memakai hedon sebagai pedoman hidup, hanya dapat dihidu dan dirasai oleh mata hati yang hidup dengan cahaya ilahi, tidak dapat dilihat dengan mata kasar walau simple microscope yang dicipta oleh Anton van Leeuwenhoek hinggalah kepada secanggih-canggih spinning electron mikroskop digunakan. Hakikat yang mungkin sukar diterima oleh segelintir arab yang sangat mengagumi rakyat Malaysia yang kononnya sangat mutadayyin juga muaddabin. Saya tak nafikan, memang ada segelintir yang masih berakhlak mulia selaras dengan ajaran Islam.

Melihat kepada 2 keadaan masyarakat semalam, bangsa melayu dan arab, apa yang dapat saya simpulkan, kedua-dua masyarakat memandang kepada material kehidupan untuk mengukur tahap kemajuan, pembangunan, kekayaan juga kebijaksanaan sesuatu bangsa. Memang tak dinafikan, semua itu sebagai aspek penting untuk mencipta sebuah tamadun yang hebat, tapi ia bukanlah matlamat utama untuk dicapai. Bukanlah mercu tanda menara KLCC, menara petronas, masjid kristal sebagai pelengkap ketamadunan sesuatu bangsa, tetapi penghayatan kepada agama dan syariatlah sebagai panduan utama untuk melengkapkan kehidupan.

Lihat saja kepada tamadun Firaun si bangsa Qibti, pyramid juga gizanya!

Nak yang lebih dekat. Lihat pula tamadun puak Nabatean yang menghuni Red Rose City,Petra!

Bangsa yang dimusnahkan dek kerana kehidupan tidak bertuhan yang dijalani mereka, merasakan kehebatan tamadun mereka hanya kerana mereka mampu mengukir gunung-ganang untuk dijadikan istana, hanya kerana mereka punya orang suruhan, si bangsa Israel untuk dikerah membina pyramid.Begitu juga sebaliknya, jika agama dan syariat menjadi dukungan, saya yakin tidak akan ada manusia yang mengeluarkan statement menggugat aqidah seperti si miskin, mat rempit dan perempuan lemah diatas.

Saya suka untuk men'dedicate'kan satu dialog daripada sebuah filem yang diceritakan oleh sahabat saya, “jangan pilih jalan hitam” kepada semua sahabat sepengajian saya, sama-sama kita mula bertatih di INTEC, mengenal suka noda alam university, hinggalah sudah hampir separuh perjalanan kita dalam sekolah perubatan dan pergigian ini, untuk sama-sama memuhasabah juga mengoreksi jalan pilihan masing-masing. Hidup kita bukan untuk sehari dua sahaja, makan, tidur, berhibur. Jika dipanjangkan umur, kita mungkin berkesempatan melihat Islam itu tertegak atau pun makin ditindas, jadi tidak mahukah kita termasuk dalam golongan orang yang bersusah payah untuk Islam dan umat mutakhir ini? Jom belajar dan faham Islam, bukan sekadar syahadah dan Islam warisan, langsung tak membekas dihati!

"Aku jumpa segala-galanya di US, tapi aku tak jumpa ruh disana",kata Syed Qutb lewat keberadaannya di bumi Uncle Sam.

Takut untuk membayangkan kalimah ini diucapkan di Tanah Melayu pasca 52 tahun kita mengecap nikmat kemerdekaan sesama manusia.


psst..
1. arghh! saya terlupa mengucapkan selamat ulangtahun perkahwinan yang ke24 kpd kedua ibu bapa saya semalam..huh..apa2 pun, saya mendoakan keberkatan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi bahtera rumahtangga umi dan ayah yang disayangi..barakallahulakum!
2. mabruk atas kerja keras ajk pelaksana malaysia day.
3. lawak pun ada melihat sahabat sekelas sewaktu sekolah dulu naik pelamin! haha, lakonan yang mantap..

Ardh-Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 6.54am
Labels:

dagang sang pejuang

Saturday, December 19, 2009 Posted by ayyash 18 comments
Dagangmu sifatnya
bukan leka dan sambil lewa
Bergerak ia dalam kafilah punya cita
Walau penat lelah sebagai mainan rasa
Buat yang meletak syurga sebagai damba

Penatmu mainan sukma
Sinis minda memujuk jiwa
Agar kau tunduk lesu dan rela
Kepada dunia yang lara
Lalu kau lupa tugas sebagai hamba

Tapi
Kau kuatkan jiwa dan raga
Kerna kau punya matlamat sehala
Ingin hidup sebagai pembawa agama
Bukan hamba kepada fananya dunia

Lautan pujian bukan cita-cita
Kerna mengertinya jiwa
Disebalik suka duka
Ada ganjaran namanya syurga
Buat diri si penggerak agama


psst..weekend yang hectic! huu..1st trial saya menulis sajak picisan, cetusan minda dan jiwa pemuda..hoho, bolehla baca sambil bukak soundtrack kitaro ye, haha..

ardh ar-ribath, the hashemite kingdom, 6.57pm
Labels:

anak singa

Thursday, December 17, 2009 Posted by ayyash 5 comments
Assalamualaikum wbt..

Subuh 15 Disember

Butir-butir peluh mula membasahi dahi. Lidah kelu, mulut bisu, kaki dan tangan terus kaku. Penat menjerit, tiada siapa peduli. Ingin meronta, tiada upaya. Mata ralit memerhati keadaan sekeliling, wajah muram seisi keluarga, ditambah dengan suram keadaan, menambah sesak didada. Sayup-sayup suara lembut seorang wanita pertengahan usia memberi arahan, putih kafan sudah menghalang pandangan. Arghhhhh! Lemas. Cemas.

Mimpi saya malam semalam. Mimpi diri saya dikafankan. Sungguh, tidak boleh diungkap dengan kata, betapa cemasnya saya pada waktu itu. Lemas. Tiada udara buat mengisi rongga dada. Tiada bekalan buat menghadap Tuhan Pencipta. Ya,mati memang sebaik-baik peringatan buat diri yang mengaku hamba.

Petang 16 Disember

"Zaman satu bangsa yang hina
Tidak pernah sunyi dari ilmuan
Sasterawan dan orang yang arif bijaksana
Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi
Tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana
Mereka ajar anak singa agar menjadi kijang yang pengecut
Dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara silam
Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan"


Sajak yang dinukilkan oleh seorang penyair, Muhammad Iqbal rahimahullah, yang mengisahkan tentang agenda-agenda si hamba thaghut untuk melemahkan si anak singa [baca:rijal-rijal Islam] kepada kijang yang pengecut. Putera-putera muslim yang merdeka, diperhambakan dengan indahnya fatamorgana dunia, lalu mereka bergembira. Rasionalnya,memang pelik. Sungguh, telah bersusah payah si insan agung cuba untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan agung menuju Rabbu Jalil, makin ramai pula manusia berlumba-lumba ingin menjadi hamba. Hamba kepada thagut. Sibuk dengan keseronokan dunia. Sangat pelik.

“Apa yang kau nak pelikkan sangatnya wahai si penulis ladangakhirat?”

“Islam itukan pelik. Datangnya dalam keadaan pelik, perginya pun dalam keadaan pelik, maka beruntunglah jika kau termasuk dalam golongan si ghurbah pelik itu”,tegas suara pelik itu menampar gegendang telinga, menerobos cerobong sempit tiub auditori,lantas mengetuk warasnya minda.

Seruan bergema.

Memanggil anak-anak singa.

Supaya ikut serta dalam kafilah dagang.

Biar kalian nampak pelik.

Asal saja kalian tidak jadi seperti si pengecut kijang!



Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 8.36am
Labels:

penjana TNB

Tuesday, December 15, 2009 Posted by ayyash 11 comments
Assalamualaikum wbt..

Semalam, 14 Disember, pulang dari jamiah bersama seorang sahabat. Sepanjang perjalanan kami bercerita mengenai bakal-bakal graduan university perguruan atau pun maktab perguruan, yang mana kelak, insan-insan inilah yang bakal menjadi pencorak serta pewarna kepada generasi-generasi khalifah Islam akan datang. Tidak dinafikan, tarbiah secara langsung dari rumah oleh ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik si khalifah kecil, tetapi peranan guru-guru disekolah turut menyumbang kepada perkembangan dan tumbesaran para khalifah kecil ini baik fizikal, spiritual mahu pun mental.

Melihat kepada masalah sosial yang melanda segenap lapisan umat, sedari yang belum akil baligh, hinggalah kepada si bongkok tiga, cukup merisaukan minda dan menyesakkan dada para pemikir umat. Harapan dan impian para ibu bapa untuk melihat anak-anak terdidik dengan asuhan Islam semakin mengendur pabila melihatkan gelagat bakal-bakal pendidik ini. Aksi dan gaya romeo serta julietnya, inikah golongannya yang ingin kita sandarkan bongkah kepercayaan untuk mendidik khalifah-khalifah kecil akan datang?

Hairan juga dengan telatah siswa-siswi, muda-mudi mutakhir ini.

“Takde mende lain ke nak pikir, tak abes2 cerita pasal girlfren boyfren, patut la negara tak maju-maju, orang-orang muda semua asyik fikir masalah cinta”, antara luahan hati sang sahabat tatkala kaki kami melangkah ke bangunan Shu’un Tholabah.

Teringat saya kepada isi kandungan buku At-Thoriq Ilal Qulub, karangan Sheikh Abbas As-Sisi yang saya baca sedikit sebelum pergi ke kelas pagi semalam. Beliau menyifatkan seorang daie itu seperti seorang penjaga pusat jana kuasa. Bayangkan saja TNB. Dimana setiap rumah didalam satu daerah akan mendapat sumber tenaga daripada satu pusat janakuasa. Jika sang penjaga menutup plak penjana, maka bergelap gelitalah seisi daerah.

Begitu juga, dalam kehidupan para duat, penjana elektrik diibaratkan seperti Al-Quran, sumber utama kalam Rabbu Jalil. Manakala si daie pula seperti orang yang menjaga pusat janakuasa elektrik itu, yang punya peranan untuk membuka serta menutup suis penjana, yakni orang yang seharusnya kembali mengejutkan umat yang lena ini dengan simbahan cahaya Al-Quran.

Yang juga mengingatkan akan nikmat dan ganjaran kepada si pengejar akhirat.

Yang juga mengingatkan akan siksa dan sengsaranya si hamba dunia.

Yang juga mengingatkan akan perintah dan larangan Tuhan Pencipta.

Maka, disinilah peranan setiap yang mengaku dirinya daie, untuk memainkan peranan, amanah dan tanggungjawab mengejutkan uda dan dara, laila dan majnunnya,serta romeo dan juliet. Saya terfikir, dalam keadaan saya dikelilingi sahabat-sahabat yang hati dan jiwanya hidup dengan cahaya Al-Quran, betapa ramainya ummat yang masih merangkak mengeja juga langsung tidak mengenal hurufnya Al-Quran. Dalam keadaan saya dikelilingi sahabat-sahabat yang tegar dan teguh melaksanakan syariatNya, betapa ramai ummat yang hanyut dan lebur dengan syariat syaitan durjana.

Aduh! Banyaknya amanah dan tanggungjawab. Hendak mengejar redha Allah, ingin menjadi graduan terbaik university tarbiah sambil berlari mengejar ijazah sekolah perubatan, punya impian untuk menjadi hamlatul Quran, juga punya peranan sebagai penjaga pusat janakuasa elektrik meski pun bukan di TNB.

Ayuh diri! Ayuh sahabat!

Dunia ini ladang semata, ladang kepada akhirat. Gerakkan diri untuk menggerakkan ummat. Tarbiyahkan diri untuk mentarbiyah ummat.


psst..hari ni adik saya habis exam SPMnya..doakan kelapangan masa yang diberikan kepadanya dapat membawa dia untuk lebih memahami syahadahnya, Islam..dengan doa dan kasih sayang, saya mohon kepadaNya..


Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 6.26am
Labels:

post-mortem

Sunday, December 13, 2009 Posted by ayyash 7 comments
Assalamualaikum wbt..

Satu

Selesai menjawab semua soalan. Tachycardia sekejap. Proceed button. Zapp! Markah keluar. Mata terkebil-kebil. Simpan hawiyah [student card], tolak kerusi, bergegas balik.

Download silibus. Esok kelas bermula. Selamat datang endocrinoloy system.

Dua

Tangan ligat menekan keypad handphone, menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh dek musim exam yang mengganas semingu lalu. Ada buku yang perlu difotostat, ada amanah yang perlu dilunasi, ada hati yang perlu diikat, ada jiwa yang perlu diisi.

Semuanya memerlukan masa dan kudrat empat kerat.

Semuanya memerlukan iman dan amal.

Semuanya memerlukan ikhlas dan sabar.

Benar! Engkau memerlukan kesabaran untuk tetap mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Engkau memerlukan kesabaran untuk selalu tegar dalam melaksanakan syariatNya. Engkau memerlukan kesabaran untuk sentiasa tsabat dalam setiap perkara yang membawa engkau kembali kepadaNya. Segala-galanya memerlukan S.A.B.A.R.

Aku mohon, Dia memberikan engkau kesabaran dalam setiap amal perbuatanmu. Supaya engkau tidak cepat melatah pabila sesekali ujianNya tiba, supaya engkau bisa saja bangun, berjalan dan kembali berlari kepadaNya. Engkau, teruskan bersabar ya!

Tiga

Saya berfikir-fikir, hidup ini perlukan matlamat. Sebagaimana syurga ada neraka, pahala ada dosa, matlamat juga perlukan cara dan langkah yang dapat menyampaikannya kepada keberhasilan matlamat itu. Seperti mana, sesuatu gerakan yang berhasil memerlukan manhaj Al-Quran, Sunnah dan sirah Rasulullah untuk dijadikan panduan terbaik,begitu juga kapitalisme dengan pelbagai agendanya untuk melaksanakan matlamat pemilikan sepenuhnya individu tertentu kepada sesuatu prosperiti dan juga properti. Lahir pula komunisme ditengah-tengah kekabutan kapitalisme, dengan corak pemerintahan kuku besinya, kononnya ingin membetulkan sistem kapitalisme yang sedia ada pada ketika itu, lalu matlamat pemilikan sama rata kepada semua individu ditanam sebagai satu fikrah, satu doktrin dan juga satu dogma dalam masyarakat yang di'oppresi' tika itu. Segala cara dan gerak kerja sanggup dilakukan untuk mencapai keberhasilan matlamat masing-masing samada ianya dipuji atau dikeji.

Jika hidup ini matlamatnya mencari redhaNya, maka perlulah ada jalan dan cara yang dapat menyampaikan kita kepada redha itu. Ada perintah untuk ditaati, ada larangan untuk dituruti, ada sunnah untuk dijagai. Seperti mana kereta memerlukan pemandu untuk sampai ke tempat yang ingin ditujui, begitu juga hidup memerlukan mati untuk kita sampai ke destinasi abadi. Mati sebagai satu proses perpindahan, dari tempat melakukan amalan, ke tempat menerima pembalasan. Sungguh, mati itu adalah sebaik-baik peringatan.

Teringat saya kepada sebuah kata-kata peringatan yang diucapkan oleh seorang ustazah lewat tazkirahnya yang saya dengari, “mati itu satu kepastian, tua itu pula cuma satu kemungkinan”. Menerima berita pemergian pegawai atase pendidikan jabatan penuntut Malaysia Jordan, Ustaz Arman bin Md Rusoff, pagi jumaat lalu, agak mengejutkan saya dan sahabat-sahabat. Teringat kepada sosok tubuhnya yang tinggi dan tegap itu, usia sekitar hujung 30-an, membuatkan ramai berfikir-fikir asbab kepada pemergiannya, stroke, penyakit yang jarang-jarang kalinya menyerang golongan muda.

Benar! Mati itu memang satu kepastian,dan tua itu cuma satu kemungkinan. Daripada Allah kita didatangkan, kepadaNya juga kita dikembalikan. Semoga Allah menempatkan ruhnya bersama orang-orang yang beroleh rahmat dan keampunanNya. Al-Fatihah.


ardh ar-ribath, the hashemite kingdom, 8.16pm
Labels:

pre-exam syndrome

Wednesday, December 09, 2009 Posted by ayyash 12 comments
Assalamualaikum wbt..

Satu.

Usai membincangkan liver cirrhosis case dalam group discussion bersama rakan-rakan dan doctor KAUH, King Abdullah University Hospital. Mata pun agak mengantuk dek sepinggan nasi Mat3am Hadramaut. Huhu. Sedang membaca nota mikrob, tiba-tiba terdetik untuk membuka buku patologi, pocket companion robin and cotran yang dihadiahkan oleh seorang sahabat lewat usia saya menghampiri 20 tahun semester lepas.

Daripada saudara seaqidahmu..
Ukhuwah antara kita umpama seutas tasbih, ada awal tiada penghujungnya, dicipta untuk mengingatiNya, dibahagi untuk cintaNya, diratib demi redhaNya. Kematian itu motivasi bagi muslim. Moga bertemu di syurga abadi. Sayang kamu kerana Allah..

Ya. Saya juga sayangkan anda kerana Allah.

Dua.

Wohaa! Exam makin dekat.

Doakan sahabat-sahabat dan saya cekal untuk terus membaca dan membaca helaian-helaian kertas yang menyesakkan dada dan menyerabutkan minda ini. Sungguh, jika mahu di hiperbolakan, jari sudah bengkok menulis dan mencoret, berbatang-batang pen Montex sudah bertukar ganti dek kehabisan dakwatnya, pinggang sudah terasa peritnya lantaran duduk terlalu lama menghadap nota, mungkin juga cecair intervertebral disc sudah haus, mata juga sudah penat dek tekunnya menatap tulisan-tulisan kecik lectures note didalam tetingkap laptop, tetap juga tidak bisa melawan kecekalan dan kesungguhan cendekiawan-cendekiawan terdahulu menuntut ilmu.

Langsung tidak memerlukan peperiksaan dan ujian semester untuk menyuntik semangat dan iltizam mereka terhadap ilmu.

Juga tidak memerlukan system pendidikan yang disusun oleh university dan kementerian.

Jauhkan lagi mengharap tajaan pendidikan oleh mara, jpa, mindef mahu pun bank negara, bisa saja mereka menjelajah segenap pelosok alam untuk menuntut ilmu.

Lihat saja kepada Imam Shafie, Imam Ahmad bin Hambal, juga imam-imam mazhab lain. Jangan engkau lupakan ilmuan-ilmuan abbasiyah juga ulama-ulama Azhar.

“Malulah kamu wahai si penulis ladangakhirat!”.

Keras jeritan suara menggemakan minda, membuntangkan mata yang kuyu untuk terus belajar agar bisa jadi orang yang faham, seterusnya menyampaikan dan memahamkan manusia lain. Agar hidupmu tidak menjadi parasit, membebankan si penanggung. Bukankah sudah acapkali engkau mengingatkan dirimu, hidup itu biarlah berprinsipkan mutualisma. Saling. Memberi dan menerima.

Masukkan dalam mindamu, fahamkan dengan hati. Belajar ya!

psst..itula akibatnya klu malas beli nota, main download je nota segala..hadaplah laptop tu, celikkan mata..btw, tetap menyokong med4just cawangan atyaf..ye2..troskan menyokong kutlah islami..rasa2nya malek domeidat naik utk next election, ye ke?..

irbid, the hashemite kingdom, 1.33pm
Labels:

kasih umi sayang ayah

Saturday, December 05, 2009 Posted by ayyash 5 comments
Assalamualaikum wbt..

18 Zulhijjah 1430H. Semalam saya menelefon rumah, bercakap lebih kurang 20 minit dengan umi dan ayah. Bertanyakan keadaan semasa dirumah, aktiviti harian siswa-siswi dalam keluarga saya ketika mereka bercuti. Tak lain, tak bukan, macam anjing dengan kucing. Haha. Saya boleh bayangkan suasana itu, pasti gamat dan meriah dengan lagak dan gaya yang masing-masing tidak mahu mengalah. Kepenatan umi menguruskan makan pakai anak-anaknya yang ramai itu, Wah! Kenangan dan memori yang sangat indah untuk dikenang.

Kasih umi, sayang ayah, bertanyakan bagaimana keadaan kesihatan, perihal akademik dan persediaan saya untuk menghadapi exam gastrointestinal system yang makin tiba. Ayah turut menyatakan kerisauannya melihat saya berblogging, dibimbangi saya terleka dengan dunia blog ini. Juga menasihati dan mengingatkan saya akan ada segelintir golongan bloggers yang suka menyebarkan cerita gossip dan fitnah, mendedahkan rahsia jemaah atau parti serta membuka aib individu-individu tertentu dengan harapan saya lebih berhati-hati dalam menyusun kata dan bicara disebalik wadah penulisan maya ini. Yep! Akan saya ingat dan pegang kata-kata ayah dalam entri sulung saya yang lalu.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh!

Ramai orang berlumba-lumba menyertai medan maya ini sama ada dengan "tahu" atau sembrono ! Elok benar memuluskan niat sebelum memulakan klik pertama.Begitu ramai pelayar dan blogger yang tersesat melayang-layang di awang-awangan tidak tentu hala dan tujuan.Memiliki sebuah laman blog bukanlah lesen menghalalkan cara.Berhati-hatilah jangan terperangkap di dalam lukah yang ditahan di pergentingan !

Gunakan blog untuk memaparkan makruf dan ilmu.Jadilah seperti Imam Bukhari yang sangat teliti dan bertanggungjawab terhadap fakta.Oleh itu jalan paling selamat yang patut dilalui oleh para blogger ialah memaparkan ayat-ayat Allah,hadith-hadith Nabi serta menjauhi fitnah dan gosip.Fitnah ibarat orang tidur,janganlah kita menggerakkannya!

Akhir sekali,janganlah belayar ditengah lautan luas dimalam gelap gelita dengan perahu kolek.

Belayarlah dengan cahaya yang terang benderang !
November 26, 2009 8:11 PM


Moga Allah memberi saya keberkatan waktu untuk saya mengutip sebanyak mungkin mutiara-mutiara ilmu Allah atas muka bumi ini.

Moga Allah memberikan saya kesabaran dalam mentaatiNya.

Moga lahir lebih ramai orang-orang yang memahami syahadah yang diucapkannya dan menyampaikan Islam disebalik kemugkaran dan maksiat yang makin mengembang biak dan membarah dalam ekosistem kehidupan.

Study week saya telah bermula. Doakan sahabat-sahabat dan saya diberi kesihatan yang baik serta kekuatan baik dari segi jasmani dan rohani untuk menghadapi imtihan pada 13 Disember ini. Allah yusahhil lana, insyaAllah.

Irbid,the hashemite kingdom, 8.42pm.
Labels:

sahabat jilalul Quran

Wednesday, December 02, 2009 Posted by ayyash 4 comments
Assalamualaikum wbt..

15 Zulhijjah 1430H. Tahun Qamariyah. 354 hari setahun. Malam tadi bulan mengambang penuh. Sahabat-sahabat Quranic Circle datang berkampung di rumah saya malam ini. Alhamdulillah, semua dapat menghadirkan diri meskipun exam Gastrointestinal system just around the corner. Alhamdulillah, Allah menanamkan semangat sahabat jilalul Quran zaman Rasulullah dalam diri dan jiwa sahabat-sahabat saya ini.

“If we want to ask a question, who want to memorize the Quran, I want you to compare the question to who want to lose the weight, ok, listen to these questions!”

“Ok, if I say who want to memorize the Quran, some people will slowly raise their hand”

And then I say, “Come on, it is the Quran”.

Then people say, “Ok, I raise my hand”.

But then, you tell people. “ Who want to lose weight?”, the hand will go up more and said, “ Yes, I want to lose the weight, I will follow the rule to diet”

Antara quotes dari audio khutbah Jumaat Muhammad Ashareef, seorang Imam di Kanada yang bertajuk Written in Stone yang kami dengari usai solat subuh pagi tadi. 2 persoalan yang menarik untuk kita sama-sama fikirkan.

Sahabat

Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz bin Jabal, Amir bin Abi-Waqqas, Dhirar Azwar dan Syurhabil bin Hasanah. Antara maqam sahabat yang pernah saya lawati lewat keberadaan saya dibumi Syam ini. Sahabat acuan Rasulullah. Sahabat Jilalul Quran.

Sahabat yang dijamin syurga dan digelar “Amin Al-Ummah”, Abu Ubaidah Al-Jarrah.

Sahabat yang diangkat menjadi imam kepada para ulama disebabkan kefaqihannya dalam bab halal dan haram, Muaz bin Jabal.

Sahabat yang digeruni kerana kepahlawanannya dan keberanian, saudara perempuannya, Khaulah Azwar, iaitu Dhirar Azwar.

Sahabat baik juga saudara kandung Saad bin Abi Waqqas, Amir bin Abi Waqqas yang meninggal pada usia muda.

Kesemua sahabat diatas adalah sahabat yang mendapat tarbiyah langsung daripada Rasulullah. Antara sahabat yang menerima tauhid, seterusnya menolak segala bentuk pensyirikan yang berlaku pada masa itu. Sahabat yang mencintai Al-Quran bukan kerana ilmu semata-mata, tetapi untuk melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah dalam mereka menghadapi kehidupan sehari-harian.

Allah mensifatkan para sahabat Rasulullah dalam firmanNya

“Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaNya dan keridhaanNya. Pada wajah mereka tampak tanda-tanda bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka yang diungkapkan dalam Taurat dan Injil iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu menjadi semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus diatas batangnya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan diantara mereka ampunan dan pahala yang besar”. [Al-Fath:29]

Dimana kekuatan aqidah, berpegang teguh dan bersikap tegas dengan pendirian, berkasih sayang sesama mukmin, mendukung sepenuhnya dakwah dan jihad serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul menjadi titik pemula kepada terasasnya generasi Al-Quran pada zaman itu, yang mana tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana umat mutakhir.Meski dunia makin maju dengan teknologi-teknologi canggih, tetap tidak dapat melahirkan generasi Al-Quran Rasulullah sekiranya tauhid kepada Allah terus dipandang sepi.

Moga pemegang-pemegang Al-Quran menjadi benih yang mengeluarkan tunas, menjadi besar dan tegak lurus diatas batangnya dan menyenangkan hati penanam-penanamnya.

Moga pemegang-pemegang Al-Quran tsabat untuk terus memikul ‘beban’ ini.

Moga Allah hidupkan hati pemegang-pemegang Al-Quran dengan cahayaNya.

Psst1..huu..kene rajinkan lagi diri..
Psst2..k.yong, jgn gado dgn iman..haha..apa daa!! You are 23, she’s only 11..
psst3..fan, jgn buat keje merepek, letak kucing atas kepala iman plak..apa kes!!

irbid, the hashemite kingdom, 10.36am
Labels: