Showing posts with label jalan susah. Show all posts
Showing posts with label jalan susah. Show all posts

laporan Nuh

Friday, December 10, 2010 Posted by ayyash 5 comments
Setelah seribu tahun kurang lima puluh tahun menghadapi kaumnya yang degil dan hanyut dibelakang pemimpin-pemimpin yang sesat dan menyesatkan, baginda mengemukakan laporan hasil seruannya kepada Tuhannya..

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih..

5. Lalu Nuh berkata : Wahai Tuhanku! Aku telah menyeru kaumku siang dan malam.”

6. “Tetapi seruanku itu tidak menambahkan mereka suatu apa melainkan mereka semakin lari.”

7. “Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka kepada keimanan supaya Engkau ampunkan dosa mereka, mereka sumbatkan jari-jari ke dalam telinga mereka dan menutupkan muka dengan baju mereka, dan mereka terus berdegil dan menunujukkan sikap yang amat sombong”

8. “Kemudian aku menyeru mereka secara terang-terangan”

9. “Kemudian aku menyeru secara terang dan secara sulit”

10. “Dan aku telah menyeru mereka, pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu sesungguhnya Dia Maha Pengampun.”

11. “Nescaya Allah menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu”

12. “Dan mengurniakan kepada kamu harta yang banyak dan anak yang ramai, dan megadakan kebun-kebun untuk kamu, juga mengadakan sungai-sungai untuk kamu.”

13. “Mengapakah kamu tidak memberi penghormatan sewajarnya kepada Allah?”

14. “Sedangkan Dia telah menciptakan kamu melalui berbagai-bagai peringkat perkembangan.”

Surah Nuh : 5-14 : Makiyyah

Hebatnya seruan Nabi Nuh. Tak kenal erti penat lelah, jerih payah, siang malam, sirr mahupun jahr, semuanya sanggup dilakukan untuk memastikan kedaulatan Islam menaungi alam.

Kita? Muhasabah..


p/s..
* jiwakan tenang bila dahi sujud menyembah pada Ilahi..

pusat pemulihan akhlaq..
irbid the hashemite kingdom, 1.55pm..

Labels:

muqaddimah perkenalan

Thursday, October 28, 2010 Posted by ayyash 3 comments
menikmati fajar bersalju di atas muka bumi Tuhan..

kau masih ingat lagi bukan ?
aku rindukan sejuk kabus memutih bersama mereka,
berguling di atas salju,
membaling salji,
memilih kasut ski,
mengheret kayu ski,
jatuh dan bangun, jatuh lagi terpelesot,
dan mencari rumah cokelat.
segala-galanya sehinggalah langkah longlai - berjalan pulang,
ke pangkal jalan ?

riang mengenal ramai,
awal aku tak kenal,
namum ikatan bermula walau hanya seketika disemai.
kerana antara fikrah dan ilmu,
langkah bermula.

dalam sedar kami bangkit,
dalam diam kami dijentik,
usai berjalan, berlari dan melompat sakit,
mengembara dalam suka dan pahit,
kami disuntik,
hidup dalam interaksi dengan-Nya. benar ia makin teguh terpalit.
kami ralit.

mata, jiwa dan hati dititip gegar.
dan kami duduk menghadap mendengar.
setia walau sukar,
hanya kerana kami mahu
dan mahu mendengar untuk sedar,
tentang realiti yang dipagar.

dalaman dan luaran,
seiringan dalam seruan.
mengenal jalan.

jangan pandang belakang lagi,
kita kan mahu kedepan lagi,
memegang erat tangan dengan pasti,
melangkah bersama ke arah realiti.

terima kasih atas cinta dan kasih,
kami akan kembali,
ke sana lagi. :)


enshaAllah.


draph99,,
28/10,1258 am, malam tanpa letrik.

*****

A clarification..
yang diatas ini telah diciplak dari hasil tulisan draph99.. (^__^)..

A confession..
serius rindu bumi andalus dan segala 'perkara'  yang menyegarkan dan menghidupkan jiwa di bumi france.. rindu jugak saat bersama mereka bermain ski dalam keadaan ribut salji?? akhirnya tercungap-cungap kepenatan dan kesejukan merentas desa comel ke rumah cokelat yang ada pendiang heater!! didoakan istiqamah dan tsabat.. fastaqim kama umirta!! [budak2 kisas tulun jangan perasan, tulun la.. haha] november ini, bon voyage dari aku untuk kalian.. (T__T)


pusat pemulihan akhlaq..
irbid the hashemite kingdom, 9.44pm..
Labels:

dari penjara tentera

Thursday, August 12, 2010 Posted by ayyash 3 comments
“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Arab Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki”

Menguliti buku milik Kak Nebula ini membuatkan jiwa seakan kurang percaya adanya penyeksaan seperti itu diabad ke-20 ini. Kezaliman dari sosok manusia yang mengaku dirinya sebagai kepala urusan  ummah. Kesabaran dan keikhlasan para pendokong kalimah tauhid menjalani pelbagai rencam ujian sebagai tukaran kepada tiket syurga Allah Taala yang bersifat abadi, pastinya pengorbanan mereka tidak boleh ditafsirkan mengikut neraca timbang manusia.

Matlamatnya cuma satu, menarik manusia menyerahkan sepenuh ketaatan kepada Allah Taala. Itulah yang cuba dijelmakan oleh nama-nama besar seperti Zainab Al-Ghazali, Hasan Hudhaibi, Abdul Fattah Ismail serta pendokong-pendokong agama ini ke dalam urat daging kehidupan masyarakat. Biar agama ini meresap jauh ke dalam jiwa setiap muslim seperti baru lepas dicelup ke dalam larutan tauhid, bukan sekadar salutan diluaran. Itulah yang membezakan celupan dan saduran, mafhum dari kata-kata Kak Niki beberapa hari lepas.

Al-Quran dan sunnah sebagai panduan, sirah Baginda sebagai rujukan, maka program-program tarbiyah masyarakat dirangka dalam ruang lingkup yang cukup syumul iaitu menegakkan kalimah La ilaha ilallah, Muhamad Rasulullah keseluruh pelusuk alam. Formula keberhasilan tarbiyah mereka nampak mudah, 75% masyarakat memahami risalah nubuwwah dalam jangka masa 13 tahun sebagai kayu ukur untuk daulah Islam ditegakkan. Jika bilangan masyarakat yang memahami Islam kurang daripada aras yang diletakkan, sistem tarbiyah akan dikaji dan diperbaiki. Usaha sepenuh tenaga diletakkan bagi melahirkan kader-kader yang akhirnya, kebanyakan mereka dihumban ke dalam penjara tentera pemerintah ketika itu. satu demi satu jiwa-jiwa ini gugur dengan membawa mahar paling mahal untuk dipersembahkan kehadapan Allah Taala. Semoga Allah menganjari mereka dengan ganjaran syurga FirdausNya.

“Kepada roh-roh para syuhada’ yang telah mendahului kita, kita kemukakan kepada mereka penghormatan cinta, ingatan yang baik dan janji bahawa kita akan tetap berada diatas jalan ini. Kepada setiap orang yang ada kebaikan walau sebesar biji sawi didalam hatinya, semoga Allah swt memberi faedah kepadanya dan menunjuknya jalan yang lurus. Apa yang kami kehendaki hanyalah menurut kehendak Allah swt.”  -Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili -


pusat pemulihan akhlaq..
irbid the hashemite kingdom, 7.04pm..


Labels:

panji kebaikan

Monday, June 07, 2010 Posted by ayyash 5 comments
Assalamualaikum wbt..

Iqbal rahimahullah telah berkata,

“Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya lalu,
Bulan pun beredar disekelilingnya tanpa henti”..

Lewat beberapa hari ini, Turki sekali lagi mengibarkan panji “wehdatul ummah”nya. Dulu pernah sekali ia berkibar dengan megahnya dibawah naungan sistem khilafah Turki Uthmaniyah, serata alam mencakupi setiap strata kehidupan memberikan sepenuh ketaatan kepada apa yang dikatakan khilafah ini. Pendek kata, Islam sebagai ketuanan alam. Bezanya kali ini, panji kesatuan yang dikibar Turki berputar kepada isu kemanusiaan Gaza, secara langsung menyatukan manusia berlainan agama dan bangsa didalam satu armada kemanusiaan. Ini satu permulaan yang baik untuk Turki, kerajaan “ex-khilafah” dan ummat Islam dimana secara tidak langsung kesyumulan Islam yang menyentuh segala aspek kehidupan, khususnya kemanusiaan terpamer.

Mona Fendi, sosok manusia yang sering menghantui zaman kanak-kanak era 90-an di Kepulauan Melayu dan Mao Zedong, sahabat baik Karl Marx dan Stalin di Tanah Besar China, keduanya pasti punya sifat kemanusiaan disebalik tiap keganasan yang dilakukan [cuma musykil, yahudi ada sifat kemanusiaan gak ke?]. Inikan pula masyarakat awam antarabangsa, pasti punya sifat kemanusiaannya. Mereka melihat panji kebaikan yang dikibarkan Turki sebagai satu opportuniti baik bagi membantu masyarakat Gaza yang dinafikan hak-hak manusiawinya. Kredit kepada masyarakat antarabangsa yang prihatin dan bertindak, sekaligus membuka mata ramai manusia untuk lebih menghayati apa yang dikatakan oleh Syed Qutb sebagai,

“Pada saat-saat kita hidup untuk diri sendiri, nampaklah kehidupan ini sempit dan pendek. Tetapi jika kita hidup untuk orang lain hidup ini akan lebih panjang dan bererti”

Mudah-mudahan panji kebaikan [baca:Islam] yang dikibarkan Turki ini dapat menjadi gravity yang menarik  manusia untuk berbondong-bondong kembali kepada fitrah asal usul mereka, Islam. Juga melahirkan manusia yang bersungguh-sungguh bekerja meletakkan Islam ditempat yang ia selayaknya berada. Melaungkan slogan “Islam sebagai deen” ke seluruh petala alam, melangkaui setiap sempadan politik, menyentuh hati, membuka mata dan telinga setiap manusia hatta di hutan Amazon sekali pun, untuk mentauhidkan Allah yang bersifat Ahad juga mengerakkan diri untuk menyahut risalah nubuwwah yang mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyah-jahiliyah kuno mahu pun moden.

Graviti itu sifatnya menarik, begitu juga Islam.

Graviti itu sifatnya menarik, begitu juga daie.

Gravity itu sifatnya menarik, begitu juga dakwah dan tarbiyah.

Ayuh jadi penarik!!


pasca bab 11:Panji Kebaikan, Al-Muntalaq..
pusat pemulihan akhlaq..
irbid the hashemite kingdom.. 12.24am..


Labels:

fityah

Saturday, May 08, 2010 Posted by ayyash 11 comments
Hanin si kecil baik duduk diam-diam di riba Makcik Nebula. Sambil telinganya mendengar Makcik Ululalbab membacakan surah Al-Kahfi di hari Jumaat yang hening itu. Mata kanak-kanak berusia tiga tahun itu tidak berkedip-kedip melihat setiap aksi dan reaksi manusia-manusia yang kelihatan seperti raksasa jika mahu dibandingkan dengan saiz dirinya yang kecil.

Sesekali angin nyaman Sweileh bertiup mengeringkan keringat-keringat yang tumpah dek teriknya mentari memancarkan sinaran imannya ke seluruh jagat raya, dataran syuhada’ Sham. Hanin si comel masih lagi diam mendengar, langsung tidak menangis. Gembira barangkali mendengarkan suara Makcik Mimi bercerita perihal pemuda Kahfi. Baru tadi Hanin melihat Makcik Mimi menelaah suratul Kahfi daripada tafsir Al-Azhar yang ditulis oleh Buya Hamka.

Kata Makcik Mimi,

“Kami ceritakan kepadamu [Muhammad] kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda [fityah] yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka” [Kahfi:13]

Makcik Mimi : Apa yang Makcik nak highlightkan kat sini adalah perkataan "fityah" ni. Sape tahu apa maksud fityah?

Makcik Timon : Fityah tu pemuda, wahai Makcik Mimi.

Makcik Mimi : Betul tu Makcik Timon, dan apakah persamaan antara pemuda-pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi ni?
[Suasana sunyi seketika. Sayup-sayup terdengar suara imam membacakan khutbah Jumaat dari masjid berhampiran]

Makcik Mimi : Apa yang menyatukan pemuda-pemuda Kahfi ni adalah keimanan mereka kepada Tuhan Rabbul Alamin, dimana Allah menemukan mereka dibawah sepohon pokok tatkala mereka keluar dari majlis keramaian yang batil di kampung mereka. Kehendak Allah, akhirnya keimanan mereka sampai ke pengetahuan Raja yang zalim, lantas perintah penangkapan mereka dikeluarkan. Lalu...
[Makcik Mimi berhenti seketika menghirup udara segar, semput barangkali]

Makcik Cahaya : Lalu apa Makcik Mimi?

Makcik Mimi : Lalu “Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri [menghadap raja yang zalim dan sombong] lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran” [Kahfi:14]

Makcik Intellingent : Oo, begitu juga kita. Apa yang menyatukan hati-hati kita saat ini adalah keimanan kepada Allah, daripada Dia sahaja petunjuk itu datang.

Makcik Salih : Dan Tuhan kita adalah Tuhan langit dan bumi, dan kita tidak menyeru selain daripada Dia.

Makcik Mimi : ye, didoakan kite sume dapat jadi macam pemuda Kahfi ni..

Makcik Lily : Innahum fityatun amanu bi Rabbihim wa zidnahum huda..
Hanin yang innocent (^__^), senyumlah.
Penat tau raksasa-raksasa Shrek makcik-makcik sume nak tunggu Hanin senyum (T__T)

~Skrip telah diedit dan diolah~

Moga Allah menyatukan hati-hati mereka dalam keimanan kepadaNya..

Rabbuna Rabbu samawati wal ardh..

ayyash..
pusat pemulihan akhlaq..
sweileh-irbid, the hashemite kingdom.. 1127am..








Labels:

manusia logam

Friday, April 16, 2010 Posted by ayyash 11 comments
Pembinaan jiwa dan aqal adalah lebih sukar dari pembinaan bilangan dan barisan. Secebis kata Syed Qutb yang dipetik dari muqadimah ringkas surah Al-Qalam. Seolah masuk ke dalam terowong masa merentas zaman, kembali ke era Mekah yang gemerlap dengan warna dan sirna nubuwah untuk diteladani. Kisah hidup manusia-manusia berjiwa rabbani. Kisah tadhiyah yang penuh warna warni.

13 tahun pertama ditumpukan untuk membersih dan menggilap jiwa-jiwa kering yang tunduk menghamba diri kepada yang dinamakan Latta dan Uzza selaras dengan penurunan wahyu ilahi yang mengisi kebutuhan jiwa manusiawi ketika itu. Supaya bersih dari segala tabiat kuno nenek moyang yang jahil. Berkonsepkan tauhid, satu cara hidup yang bukan baru, juga telah digunapakai oleh manusia pertama Adam a.s, diperkenalkan ke seantero Mekah. Hasilnya lebih kurang 300 orang sahaja yang menerima dan menyahut seruan. Ini bukan kegagalan, ini penapisan. Pemilihan sulbah-sulbah yang sanggup ke hadapan tika Islam jadi taruhan.

Gerabak dipacu ke Madinah. Perlembagaan digubal, daulah terbina rentetan kesatuan dan kesepaduan jiwa-jiwa mukmin meneladani tanzim sosok terpuji, Rasulullah saw. Ummah makin meriah dengan gerombolan manusia-manusia seluruh pelosok menyahut seruan ilahi yang didatangkan bersama seorang manusia nubuwah. Ini kisah insan mulia, Muhammad saw berserta generasi ulung Al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin dan umat terdahulu baik terkemudian.

Lewat beberapa hari ini, aku duduk mengakui pembinaan jiwa dan aqal itu lebih sukar dari pembinaan bilangan dan barisan. Hendak melentur jiwa sendiri lagikan susah, inikan pula hendak menyantuni jiwa-jiwa lain. Juga semakin memahami bahawa pembinaan bilangan dan barisan itu bermula dari hati dan jiwa yang dibina dan dididik dengan sebaik-baik adunan dan ramuan seperti graduan-graduan yang dihasilkan oleh kuliah tarbiyah Rasulullah saw. Mereka seperti logam.

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham [faquhu]” –Sahih Bukhari-

Dan aku.

Ingin jadi kuat dan kuat.

Supaya boleh memberi manfaat.


p/s.. sedang melalui tenggang terbaik fasa pembentukan diri. Maka hulurkan tangan, mari bergandingan.
[makin kagum dengan ketahanan dan kegigihan osmates dentist menjalani malam-malam exam dengan tidak berperasaan, didoakan urusan korang dipermudahkan..hemoih..]


pusat pemulihan akhlak..
irbid the hashemite kingdom, 1050pm..
Labels:

amplifier

Sunday, April 04, 2010 Posted by ayyash 4 comments
“Hanya hati-hati yang hidup mampu menghidupkan hati-hati yang mati”, kata sang sahabat yang terzahir melalui penulisannya lewat beberapa hari lalu.

Juga menggerakkan jasad yang kaku menghadapi taufan dan tsunami dunia yang dihuni manusia berhati Adolf Hitler juga Pol Pot. Meletakkan kemanusiaan sebagai taruhannya. Berperanan seperti sang pemangsa dalam ekosistem alam. Adolf pejuang sosialis Jerman ini sinonim dengan kisah holocaust bangsa yahudi. Pol Pot pemimpin komunis pada zaman Khmer Rouge ini juga tidak dapat lari dari sejarah kemanusiaan dunia, membunuh berjuta manusia Kemboja yang didapati menentangnya. Ini kisah ‘human genocide’ yang dilakukan oleh tangan manusia yang tidak percaya adanya Tuhan.

Menyorot sejarah masa hadapan yang sedang ditempa anak watan pula berputar disekeliling tempat pembuangan sampah majlis perbandaran, lorong-lorong gelap juga ditepian tangga masjid. Akhbar ralit memaparkan cerita rakyat jelata yang sudah lupa Tuhan, membuang anak seperti membuang anak patung Barbie. Anak yang dikandung siang dan malam selama 9 purnama itu menjadi santapan anjing-anjing jalanan yang kelaparan. Selayaknya tindakan manusia-manusia yang mengaku adanya Tuhan ini dikeji.

Disatu sudut yang lain pula, aku berkeyakinan kefahaman Islam yang sebenar-benar faham sehingga merasakan diri sentiasa dalam pengawasan dan pemerhatian Tuhan Pencipta tidak memungkinkan manusia berkelakuan seperti itu. Kefahaman Islam yang benar-benar faham itu menjadikan manusia bergerak dari kegelapan mencari cahaya buat penunjuk jalan. Konklusinya, wajarkah manusia-manusia ini dikategorikan dalam kumpulan manusia yang tidak faham peranan mereka diciptakan sehingga menjadikan mereka hanyut dalam keseronokan dunia separa sedar mereka?

Solusi?

Ada dalam diri aku dan kamu.

Manusia-manusia faquhu..

Jangan kaku dan beku..

Sudah tiba waktu.. gerakkan jasadmu!



p/s..Kalian macam amplifier, yang menambah terang mentol malap dalam diri aku..


irbid the hashemite kingdom, 5.35pm
pusat pemulihan akhlak
Labels:

history of tomorrow

Monday, March 29, 2010 Posted by ayyash 6 comments
Assalamualaikum wbt..

Aku tujukan sajak Syed Qutb ini untuk "kamu-kamu".. "Kamu-kamu" yang selalu menaikkan semangat aku.. "Kamu-kamu" yang tidak mengenal erti penat jemu.. Menanam, membanting dan berganding bahu.. Melewati batasan waktu.. Memberatkan timbangan Yang Maha Satu..


Kata Syed Qutb..

"Seandainya kau tangisi pemergianku..
Dan kau siram pusaraku..
Dengan air matamu..
Maka di atas tulangku yang hancur luluh..
Nyalakanlah obor buat umat dunia ini..
Dan teruskanlah perjalanan ke gerbang jaya..
Kematianku adalah satu perjalanan..
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu..
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya..
Burung-burung berkicau riang menyambutku..
Bahagialah hidupku di alam abadi..
Bahagialah hidupku di alam abadi"..

Irbid the hashemite kingdom, 1141pm
Pusat Pemulihan Akhlak [bak kata cik timon, hemoih..hemoih..]


Labels:

awakening visions

Sunday, February 21, 2010 Posted by ayyash 6 comments
Assalamualaikum wbt..

Mata tak berkedip merenung sempadan-sempadan politik yang tergaris licin diatas peta dunia yang ditampal didinding hadapan meja belajarnya. Sengaja ditampal disitu. Senang dilihat, senang juga diingat. Biar lekat dalam otaknya. Cuba membayangkan zaman kegemilangan tamadun dagang itu menguasai dua per tiga dunia. Kata Utbah bin Nafi’, sekiranya aku tahu dihujung sana masih ada tanah, nescaya akan ku teruskan [baca:menyebarkan Islam atas muka bumi ini]”. Agak-agaknya bagaimanakah rasanya hidup berbumbungkan langit Abbasiyah? Boleh kau bayangkan?

Seputar ingatannya terbang ke Aeroport Charles de Gaulle, Perancis. Manusia-manusia yang nationalitinya Kesatuan Eropah tidak perlu berbaris panjang menguruskan passport dan segala urusan kemasukan mereka. Seperti kad Touch-and-Go, tunjukkan sahaja kad European Union mereka. Barangkali begitu juga keadaan dunia Islam sebelum jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah, juga sebelum tanah-tanah Islam dipecah-pecahkan seterusnya menghakis kesatuan muslim juga memudarkan wala’ kepada khalifah dan system khilafah. Rapi benar perancangan dan rumus zuriat-zuriat Ferdinand dan Isabella ini.

Kisahnya seperti hikayat dongeng yang dijadikan bedtime stories sebelum si khalifah kecil [baca:anak-anak Islam] melelapkan mata, Ferdinand putera raja dari Aragon dikahwinkan dengan Ratu Isabella dari Castile. Perkahwinan mereka mendapat restu dari gereja serta sokongan padu pembesar dan rakyat jelata. Manakan tidak, dengan bersatunya dua buah kerajaan ini, maka bertambah padulah kekuatan baik dari segi material, ketenteraan dan agama Kristian itu sendiri. Satu pulangan yang lumayan untuk kesinambungan tamadun mereka.

Andalus ditawan, utusan dan pendakyah agama mereka bertebaran atas muka bumi. Vasco da Gama ke Timur, Christopher Columbus ke Barat. Meluaskan jajahan dan empayar mereka. Siapa sangka, tempiasnya sampai ke gugusan kecil negara-negara Kepulauan Melayu. Habis generasi-generasi baru anak-anak Islam Filipina dibaptiskan. Lihat pula watanmu. Kau laungkan kalimat merdeka tanda kau bebas dari penjajahan bangsa kulit putih, British. Kau kata merdeka itu bebas. Tapi, fahamkah kau erti bebas itu? Definisi bebas yang dibawa oleh Rasul junjungan mulia, bebas itu ialah melepaskan diri daripada segala bentuk perhambaan daripada sesama manusia kepada perhambaan yang Haq, tunduk seorang hamba kepada Penciptanya.

Engkau melompat girang saban tahun memperingati kebebasan kau yang hanya termaktub diatas sehelai kertas, ditandatangani tanda pengesahan kau bebas. Tapi kau tidak sedar, mereka tinggalkan pelapis-pelapis yang telah mereka rekrut disekolah-sekolah yang mereka tubuhkan. Mereka didik anak-anak Melayu ini supaya faham benar akan system mereka. System sivil mereka, system hidup mereka, system pendidikan mereka, semua dari mereka. Walaupun kau tidak nampak manusia-manusia berkulit putih dan hidung mancung ini bergelumang lumpur hidup bersama kau, tetapi faham tatacara hidup mereka meresap masuk dengan halusnya dalam aqal dan hati anak bangsa kau.

Benar kata Iqbal rahimahullah,

"Zaman satu bangsa yang hina
Tidak pernah sunyi dari ilmuan
Sasterawan dan orang yang arif bijaksana
Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi
Tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana
Mereka ajar anak singa agar menjadi kijang yang pengecut
Dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara silam
Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan"


p/s..
kau rajin tengok peta, sebenarnya kau rindu akan jasad orang-orang yang kau selalu sebut namanya dalam doa kau..cis, homesick rupanye kau!

Irbid the hashemite kingdom, 9.26pm
Labels:

kanvas hidup kita

Friday, January 08, 2010 Posted by ayyash 13 comments
Assalamualaikum wbt.

Saya baru selesai membaca tulisan 2 orang manusia sulbah dimana saya yakin mereka telah menjadikan kehidupan ini sebagai satu pelaburan terbaik untuk dibawa menemui ‘pelabur’ mereka kelak. Impuls dan neuron seakan-akan ikut sama ter’excite’ pabila membaca karya hidup mereka. Membenihkan kefahaman dalam jiwa, juga melembutkan hati yang seakan keras lantaran buta dan tulinya mata telinga hidup dibawah system kuffar hari ini. Seakan juga memberitahu saya bahawa cinta dan rindu kepadaNya hanya akan hadir apabila hidup ini berpaksikan aqidah dan dalam kerangka melaksanakan syahadah tanda ubudiah kepada Ilah yang satu itu. Dan saya, semakin kagum dengan jalan yang mereka pilih, ingin turut serta dalam gerabak mereka, meski saya hanya seperti sebutir debu dalam lautan pasir.

Untuk kau sahabat!

Semalam, sahabat itu menangis lagi. Untuk yang ke berapa kali, saya juga tidak pasti. Perit barangkali, ditinggalkan tatkala hati berkobar-kobar ingin memberi. Saya yang kehilangan kata, duduk membatu ditepi. Langsung tidak memberi solusi. Sekadar memahami didalam hati. Jalan ini jalan penuh duri. Sabar dan ikhlas buat memujuk hati. Mudah-mudahan kelak usahamu diganjari ilahi.

“Dan berjihadlah kamu dijalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. Ikutilah agama nenek moyangmu Ibrahim. Dia [Allah] telah menamakan kamu orang-orang muslim sejak dahulu, dan begitu pula dalam [Al-Quran] ini, agar Rasul [Muhammad] itu menjadi saksi atas dirimu dan agar kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu, Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong." [Al-Hajj:78]

Ya, hanya Dia sebaik-baik penolong.

Kahfi dipagi Jumaat
Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 9.23am
Labels:

keindahan yang plastik

Wednesday, December 23, 2009 Posted by ayyash 16 comments
Assalamualaikum wbt..

Jumaat 18 Disember

Kelas Multaqa Ilmi Aqidah baru-baru ini, ustaz membincangkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap adanya Tuhan yang mencipta semesta ini. Boleh juga dibaratkan seperti malignant tumor stage 3, semakin merosakkan dan menghancurluluhkan lautan cells akibat daripada process necrosis dan apoptosisnya. Semakin manusia diuji dengan ketidakmampuan atau kemiskinan untuk meneruskan survival hidup, semakin manusia ingkar akan sifat Allah Yang Maha Memberi Rezeki, apakan lagi kewujudan Tuhan itu sendiri. Semakin manusia diuji dengan kebijaksanaan dan ilmu yang ada, semakin ia meragui akan adanya Allah Yang Maha Bijaksana, yang mengatur segala makhluk atas muka bumi ini.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku menang merempit malam Jumaat”, kata mat rempit.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku sangat miskin, nak hidup pun susah”, kata si miskin.

“Kalau betul ada Allah, kenapa aku kene rogol dengan abang aku sendiri”, kata perempuan lemah.

Kenapa ya? Teruskan berfikir!

Selasa 22 Disember

Semalam Hari Malaysia anjuran Kedutaan Malaysia-Jordan, diadakan buat pertama kalinya bagi memperkenalkan Malaysia dimata dunia, atau pengkhususan skopnya dimata masyarakat tempatan Jordan. Melihat kepada pengenalan Malaysia daripada pelbagai aspek, pemakanan, adat budaya, pendidikan, sampailah kepada pembangunan, menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat ideal untuk didiami oleh seantero masyarakat dunia. Cantik. Indah. Maju dan moden juga didiami oleh masyarakat yang berakhlak mulia. Segala-galanya kelihatan harmoni.

Namun, disebalik segala keindahan plastic yang ditunjukkan semalam, ada seribu satu, mungkin lebih cacat merba, onak liku, serta hanyir kehidupan masyarakat yang memakai hedon sebagai pedoman hidup, hanya dapat dihidu dan dirasai oleh mata hati yang hidup dengan cahaya ilahi, tidak dapat dilihat dengan mata kasar walau simple microscope yang dicipta oleh Anton van Leeuwenhoek hinggalah kepada secanggih-canggih spinning electron mikroskop digunakan. Hakikat yang mungkin sukar diterima oleh segelintir arab yang sangat mengagumi rakyat Malaysia yang kononnya sangat mutadayyin juga muaddabin. Saya tak nafikan, memang ada segelintir yang masih berakhlak mulia selaras dengan ajaran Islam.

Melihat kepada 2 keadaan masyarakat semalam, bangsa melayu dan arab, apa yang dapat saya simpulkan, kedua-dua masyarakat memandang kepada material kehidupan untuk mengukur tahap kemajuan, pembangunan, kekayaan juga kebijaksanaan sesuatu bangsa. Memang tak dinafikan, semua itu sebagai aspek penting untuk mencipta sebuah tamadun yang hebat, tapi ia bukanlah matlamat utama untuk dicapai. Bukanlah mercu tanda menara KLCC, menara petronas, masjid kristal sebagai pelengkap ketamadunan sesuatu bangsa, tetapi penghayatan kepada agama dan syariatlah sebagai panduan utama untuk melengkapkan kehidupan.

Lihat saja kepada tamadun Firaun si bangsa Qibti, pyramid juga gizanya!

Nak yang lebih dekat. Lihat pula tamadun puak Nabatean yang menghuni Red Rose City,Petra!

Bangsa yang dimusnahkan dek kerana kehidupan tidak bertuhan yang dijalani mereka, merasakan kehebatan tamadun mereka hanya kerana mereka mampu mengukir gunung-ganang untuk dijadikan istana, hanya kerana mereka punya orang suruhan, si bangsa Israel untuk dikerah membina pyramid.Begitu juga sebaliknya, jika agama dan syariat menjadi dukungan, saya yakin tidak akan ada manusia yang mengeluarkan statement menggugat aqidah seperti si miskin, mat rempit dan perempuan lemah diatas.

Saya suka untuk men'dedicate'kan satu dialog daripada sebuah filem yang diceritakan oleh sahabat saya, “jangan pilih jalan hitam” kepada semua sahabat sepengajian saya, sama-sama kita mula bertatih di INTEC, mengenal suka noda alam university, hinggalah sudah hampir separuh perjalanan kita dalam sekolah perubatan dan pergigian ini, untuk sama-sama memuhasabah juga mengoreksi jalan pilihan masing-masing. Hidup kita bukan untuk sehari dua sahaja, makan, tidur, berhibur. Jika dipanjangkan umur, kita mungkin berkesempatan melihat Islam itu tertegak atau pun makin ditindas, jadi tidak mahukah kita termasuk dalam golongan orang yang bersusah payah untuk Islam dan umat mutakhir ini? Jom belajar dan faham Islam, bukan sekadar syahadah dan Islam warisan, langsung tak membekas dihati!

"Aku jumpa segala-galanya di US, tapi aku tak jumpa ruh disana",kata Syed Qutb lewat keberadaannya di bumi Uncle Sam.

Takut untuk membayangkan kalimah ini diucapkan di Tanah Melayu pasca 52 tahun kita mengecap nikmat kemerdekaan sesama manusia.


psst..
1. arghh! saya terlupa mengucapkan selamat ulangtahun perkahwinan yang ke24 kpd kedua ibu bapa saya semalam..huh..apa2 pun, saya mendoakan keberkatan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi bahtera rumahtangga umi dan ayah yang disayangi..barakallahulakum!
2. mabruk atas kerja keras ajk pelaksana malaysia day.
3. lawak pun ada melihat sahabat sekelas sewaktu sekolah dulu naik pelamin! haha, lakonan yang mantap..

Ardh-Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 6.54am
Labels:

anak singa

Thursday, December 17, 2009 Posted by ayyash 5 comments
Assalamualaikum wbt..

Subuh 15 Disember

Butir-butir peluh mula membasahi dahi. Lidah kelu, mulut bisu, kaki dan tangan terus kaku. Penat menjerit, tiada siapa peduli. Ingin meronta, tiada upaya. Mata ralit memerhati keadaan sekeliling, wajah muram seisi keluarga, ditambah dengan suram keadaan, menambah sesak didada. Sayup-sayup suara lembut seorang wanita pertengahan usia memberi arahan, putih kafan sudah menghalang pandangan. Arghhhhh! Lemas. Cemas.

Mimpi saya malam semalam. Mimpi diri saya dikafankan. Sungguh, tidak boleh diungkap dengan kata, betapa cemasnya saya pada waktu itu. Lemas. Tiada udara buat mengisi rongga dada. Tiada bekalan buat menghadap Tuhan Pencipta. Ya,mati memang sebaik-baik peringatan buat diri yang mengaku hamba.

Petang 16 Disember

"Zaman satu bangsa yang hina
Tidak pernah sunyi dari ilmuan
Sasterawan dan orang yang arif bijaksana
Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi
Tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana
Mereka ajar anak singa agar menjadi kijang yang pengecut
Dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara silam
Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan"


Sajak yang dinukilkan oleh seorang penyair, Muhammad Iqbal rahimahullah, yang mengisahkan tentang agenda-agenda si hamba thaghut untuk melemahkan si anak singa [baca:rijal-rijal Islam] kepada kijang yang pengecut. Putera-putera muslim yang merdeka, diperhambakan dengan indahnya fatamorgana dunia, lalu mereka bergembira. Rasionalnya,memang pelik. Sungguh, telah bersusah payah si insan agung cuba untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan agung menuju Rabbu Jalil, makin ramai pula manusia berlumba-lumba ingin menjadi hamba. Hamba kepada thagut. Sibuk dengan keseronokan dunia. Sangat pelik.

“Apa yang kau nak pelikkan sangatnya wahai si penulis ladangakhirat?”

“Islam itukan pelik. Datangnya dalam keadaan pelik, perginya pun dalam keadaan pelik, maka beruntunglah jika kau termasuk dalam golongan si ghurbah pelik itu”,tegas suara pelik itu menampar gegendang telinga, menerobos cerobong sempit tiub auditori,lantas mengetuk warasnya minda.

Seruan bergema.

Memanggil anak-anak singa.

Supaya ikut serta dalam kafilah dagang.

Biar kalian nampak pelik.

Asal saja kalian tidak jadi seperti si pengecut kijang!



Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 8.36am
Labels:

penjana TNB

Tuesday, December 15, 2009 Posted by ayyash 11 comments
Assalamualaikum wbt..

Semalam, 14 Disember, pulang dari jamiah bersama seorang sahabat. Sepanjang perjalanan kami bercerita mengenai bakal-bakal graduan university perguruan atau pun maktab perguruan, yang mana kelak, insan-insan inilah yang bakal menjadi pencorak serta pewarna kepada generasi-generasi khalifah Islam akan datang. Tidak dinafikan, tarbiah secara langsung dari rumah oleh ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik si khalifah kecil, tetapi peranan guru-guru disekolah turut menyumbang kepada perkembangan dan tumbesaran para khalifah kecil ini baik fizikal, spiritual mahu pun mental.

Melihat kepada masalah sosial yang melanda segenap lapisan umat, sedari yang belum akil baligh, hinggalah kepada si bongkok tiga, cukup merisaukan minda dan menyesakkan dada para pemikir umat. Harapan dan impian para ibu bapa untuk melihat anak-anak terdidik dengan asuhan Islam semakin mengendur pabila melihatkan gelagat bakal-bakal pendidik ini. Aksi dan gaya romeo serta julietnya, inikah golongannya yang ingin kita sandarkan bongkah kepercayaan untuk mendidik khalifah-khalifah kecil akan datang?

Hairan juga dengan telatah siswa-siswi, muda-mudi mutakhir ini.

“Takde mende lain ke nak pikir, tak abes2 cerita pasal girlfren boyfren, patut la negara tak maju-maju, orang-orang muda semua asyik fikir masalah cinta”, antara luahan hati sang sahabat tatkala kaki kami melangkah ke bangunan Shu’un Tholabah.

Teringat saya kepada isi kandungan buku At-Thoriq Ilal Qulub, karangan Sheikh Abbas As-Sisi yang saya baca sedikit sebelum pergi ke kelas pagi semalam. Beliau menyifatkan seorang daie itu seperti seorang penjaga pusat jana kuasa. Bayangkan saja TNB. Dimana setiap rumah didalam satu daerah akan mendapat sumber tenaga daripada satu pusat janakuasa. Jika sang penjaga menutup plak penjana, maka bergelap gelitalah seisi daerah.

Begitu juga, dalam kehidupan para duat, penjana elektrik diibaratkan seperti Al-Quran, sumber utama kalam Rabbu Jalil. Manakala si daie pula seperti orang yang menjaga pusat janakuasa elektrik itu, yang punya peranan untuk membuka serta menutup suis penjana, yakni orang yang seharusnya kembali mengejutkan umat yang lena ini dengan simbahan cahaya Al-Quran.

Yang juga mengingatkan akan nikmat dan ganjaran kepada si pengejar akhirat.

Yang juga mengingatkan akan siksa dan sengsaranya si hamba dunia.

Yang juga mengingatkan akan perintah dan larangan Tuhan Pencipta.

Maka, disinilah peranan setiap yang mengaku dirinya daie, untuk memainkan peranan, amanah dan tanggungjawab mengejutkan uda dan dara, laila dan majnunnya,serta romeo dan juliet. Saya terfikir, dalam keadaan saya dikelilingi sahabat-sahabat yang hati dan jiwanya hidup dengan cahaya Al-Quran, betapa ramainya ummat yang masih merangkak mengeja juga langsung tidak mengenal hurufnya Al-Quran. Dalam keadaan saya dikelilingi sahabat-sahabat yang tegar dan teguh melaksanakan syariatNya, betapa ramai ummat yang hanyut dan lebur dengan syariat syaitan durjana.

Aduh! Banyaknya amanah dan tanggungjawab. Hendak mengejar redha Allah, ingin menjadi graduan terbaik university tarbiah sambil berlari mengejar ijazah sekolah perubatan, punya impian untuk menjadi hamlatul Quran, juga punya peranan sebagai penjaga pusat janakuasa elektrik meski pun bukan di TNB.

Ayuh diri! Ayuh sahabat!

Dunia ini ladang semata, ladang kepada akhirat. Gerakkan diri untuk menggerakkan ummat. Tarbiyahkan diri untuk mentarbiyah ummat.


psst..hari ni adik saya habis exam SPMnya..doakan kelapangan masa yang diberikan kepadanya dapat membawa dia untuk lebih memahami syahadahnya, Islam..dengan doa dan kasih sayang, saya mohon kepadaNya..


Ardh Ar-Ribath, the hashemite kingdom, 6.26am
Labels:

kebangkitan yang muntij

Friday, November 27, 2009 Posted by ayyash 8 comments
Assalamualaikum wbt..

Keheningan pagi itu dipecahkan dek takbir yang bergema disekitar kawasan syare3 jam3a [university street]. Indahnya beraya di Negara Arab ini adalah dari segi penghayatan bangsa ini terhadap erti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. melalui laungan takbir yang mengisi atmosfera irbid ini. Alhamdulillah, moga penghayatan ini terjelma dalam perlakuan fizikal sehari-harian baik saya, mahu pun mereka.

Melihat suasana masjid Yarmouk yang sesak dengan manusia menyedarkan saya akan masih ada segilintir manusia yang masih lena berulit mimpi kisah cinta laila majnun. Masih segar menghirup udara-udara jahiliah yang mengisi lapisan –sphere bumi baik atmos, stratos, tropos atau pun mesos. Masih enak menyantap bangkai dan najis yang dihidangkan oleh puak ideologi -isme seperti hedon. juga masih selesa berpayungkan sistem kapital mahu pun sekular.

2 minggu lepas, saya usai membaca satu risalah dari himpunan risalah-risalah Imam Banna untuk majalah mingguan Ikhwan, juga dikenali sebagai majmu’ rasaail, dibawah satu tajuk yang amat menarik iaitu, “Manhaj Ikhwanul Muslimin dan timbangannya”. Manhaj yang telah dibawa oleh Ikhwan sedari awal penubuhannya pada tahun 1929, lewat 5 tahun kejatuhan khilafah Islam ialah bertunjangkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dimana aplikasi untuk mencapai keberhasilan manhaj ialah dengan berpandukan seerah Nabawiyah.

Apa yang cuba di’high-light’kan oleh Imam Banna adalah untuk menghasilkan sesuatu kebangkitan, antara perkara asas yang diperlukan ialah sebuah manhaj. Manhaj yang bagaimana? Seperti yang telah saya katakan diatas. Manhaj yang berpandukan Al-Quran juga sunnah. Namun manhaj tidak akan dapat dicapai tanpa dilakukan sebarang gerak kerja atau pun operasi. Lalu, seerah Nabawiyah menjadi rujukan kepada gerak kerja yang bagaimana harus dilakukan oleh umat-umat yang bekerja ini.

Namun, disebalik manhaj dan operasi yang hebat dan mantap ini, semuanya tidak akan beroleh keberhasilan sekiranya tiada pekerja-pekerja yang ingin bekerja untuk melaksanakan manhaj. Lalu tinggallah manhaj sebagai teori yang ditulis diatas kertas-kertas kajang sahaja. Maka, atas kesedaran yang jitu akan kepentingan pekerja-pekerja yang mampu bekerja untuk keberhasilan manhaj ini, Imam Banna telah merekrut pemuda-pemuda mesir pada zaman itu dengan cara menambah kefahaman mereka terhadap Islam. Seterusnya melahirkan sosok-sosok tubuh yang rela berkorban dan terkorban untuk Islam.

Kini, 85 tahun khilafah jatuh ditangan Mustafa Kamal Ataturk, keadaan ummat makin hari makin bejat dengan masalah-masalah jahiliah. Dunia Islam makin tenat dan tenggelam dengan kerakusan kuasa kuffar menguasai setiap aspek kehidupan. Saya melihat pemuda-pemuda dihadapan saya baik syabab mahu pun sobaya, ramai yang hanyut dengan kegilaan dunia. Takut. Gusar. Melihat keadaan ini.

“Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..Lailahailallah wallahu akbar”..

Lamunan terhenti dek keriuhan jemaah masjid berbalas ucapan dan doa Aidiladha tahun ini. Sahabat menghulurkan tangan, tubuh dipaut, ukhwah mengalir.

“Selamat hari raya. Kullu 3am wa antum bikheir”, kedengaran ceria suara sahabat.

“Selamat hari raya. Kullu 3am wa antum bi alfun kheir”, balas saya.

Moga Allah bantu ummat ini.

Moga Allah bantu setiap jiwa dan sosok yang bekerja untuk Islam.

Moga Allah hidupkan tiap hati yang bekerja untuk Islam ini dengan cahayaNya kerana hati yang mati itu tidakkan mampu untuk menghidupkan hati-hati lain.

Allah, rahmati ummat ini.

Psst1..kehadiran syabab bertakbir dirumah dan kemeriahan adik-adik dan sahabat-sahabat datang berziarah menjadikan eid kali ini sangatlah bermakna.
Psst2..saya telah beraya ke 10 buah rumah hari nih. Wah! Satu pencapaian yang baik.
Psst3..esok, jadual saya penuh. Moga Allah jauhkan saya dari kehidupan yang sia-sia.
Psst4..saya terlupa nk padamkan api lepas panaskan kuah kacang, rentung seperiuk kuah kacang. asap berkepul-kepul memenuhi ruang tamu dan dapur rumah. dan saya asyik dalam bilik, taip entri ni. cis! patutla hangit semacam. ingatkan arab masak hangit (rupa2nya aku masak hangit]. Ampun U, M dan I.. [aku x sengaja]

irbid,the hashemite kingdom, 5.44pm
Labels: